Tuesday, November 2, 2010

Seperti tahun-tahun yang sebelum ini,pada setiap penghujung tahun,negeri-negeri di pantai timur dan utara akan mengalami banjir.

Keadaan hujan selama 2 hari berturut-turut di negeri Kedah bermula 31 Oktober yang lalu telah mengakibatkan Daerah Kubang Pasu mengalami banjir besar dan sehingga kini lebih 5000 orang telah dipindahkan ke pusat-pusat penempatan banjir.

Kawasan yang terjejas teruk adalah di sekitar Pekan Changlun yang menjadi jalan penghubung utama penduduk sekitar.Ini mengakibatkan konvokesyen uum 2010 telah dibatalkan kerana semua jalan utama ke UUM telah dinaiki air.

Turut terjejas teruk adalah kawasan perkampungan seperti Kampung Darat,Kampung Belukar dan Kampung Sungai Petani.Boleh dikatakan hampir setiap rumah dimasuki air.Pusat penempatan banjir dibuka petang semalam dan pihak-pihak yang telibat seperti Bomba,Bulan Sabit Merah,Tentera, dan juga Polis bertugas selama 24 jam bagi membantu usaha-usaha membawa mangsa banjir ke pusat penempatan di Sekolah Menengah Changlun.

Pada pagi ini juga,jalan-jalan disekitar Jitra dan Bandar Tanah Merah mula dinaiki air dan lebih mengejutkan Lebuhraya Utara Selatan di Plaza Tol Jitra terpaksa ditutup bagi pengguna yang ingin ke arah Bukit Kayu Hitam.

Hanya beberapa gambar dapat diambil pagi tadi.Yang lain akan dimasukkan dari masa ke semasa.
Pada masa ini,penulis juga terperangkap di pusat penempatan banjir kerana jalan masuk ke kampung asih belum dibuka kepada kenderaan.Juga banyak sekolah dan pejabat kerajaan ditutup disekitar Jitra dan Changlun.










Kenyataan Daripada Jabatan Meteorologi Malaysia


KENYATAAN AKHBAR
(01 November 2010)

AMARAN LEKUKAN TROPIKA
Di keluarkan pada 1.20 petang 01/11/2010

AMARAN LEKUKAN TROPIKA (PERINGKAT MERAH)
Kawasan tekanan rendah di Laut China Selatan yang dikesan pada 25 Oktober 2010 dan mencapai tahap lekukan tropika pada 1 November 2010. Apabila angin maksimum mencapai kelajuan sehingga 63 kmsj maka kawasan tekanan rendah tersebut diklasifikasikan sebagai kawasan lekukan tropika. Lekukan Tropika dikesan berada kira-kira 50km ke Timur perairan pantai Kelantan (Latitud 6.5 Utara Longitud 103.0 Timur) pada jam 11.00 pagi, 1 November 2010. Lekukan tropika ini dijangka bergerak ke arah Barat Laut dengan kelajuan 20 kmsj. Semasa lekukan tropika merentasi negeri Kelantan, Kedah dan Perlis, kemungkinan angin kencang mencapai 20-25 knot (40-50 kmsj) dan langkisau 35 knot(70kmsj) dijangka berlaku di negeri-negeri tersebut. Sehubungan itu, ombak mencapai ketinggian 4.5 meter di perairan Kelantan dan Terengganu.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan, perkhidmatan feri dan pelantar minyak.
Lekukan tropika tersebut menyebabkan hujan lebat dan angin kencang berlaku. Sehubungan itu, jabatan juga mengeluarkan amaran hujan lebat dan amaran angin kencang dan laut bergelora.

AMARAN HUJAN LEBAT
(PERINGKAT MERAH)
Dikeluarkan pada: 9.45 pagi 01/11/2010

AMARAN HUJAN LEBAT (PERINGKAT MERAH)
Ditingkatkan daripada Amaran Hujan Lebat (Peringkat Jingga) yang dikeluarkan pada 8.45 malam, 31/10/2010. Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat serta keadaan berangin yang turun di Kelantan (Daerah Tumpat, Kota Bharu, Bachok, Pasir Puteh, Pasir Mas, Tanah Merah, Machang dan Jeli), Perlis dan Kedah (Daerah Kubang Pasu dan Padang Terap) dijangka berterusan sehingga malam Rabu, 3 November 2010. Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai.

AMARAN HUJAN LEBAT (PERINGKAT JINGGA)
KEMASKINI

I) Ditingkatkan daripada Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir (Peringkat Kuning) pada 8.45
malam 31/10/2010. Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat serta keadaan berangin yang turun di Kedah
(Daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang, Yan, Sik dan Baling) dijangka berterusan sehingga malam Rabu, 3 November 2010.
II) Ditingkatkan daripada Nasihat Hujan Lebat dan Ribut Petir (Peringkat Kuning) pada 1.25 petang, 31/10/2010 Hujan sekejap-sekejap kadangkala lebat serta keadaan berangin yang turun di Terengganu
(Daerah Besut, Setiu dan Kuala Terengganu) dijangka berterusan sehingga malam Rabu, 3 November 2010.
Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai.
NASIHAT HUJAN LEBAT DAN RIBUT PETIR (PERINGKAT KUNING)
Dikemaskini pada 9.45 pagi 1/11/2010

Hujan sekejap-sekejap kadangkala sederhana dijangka turun di Kedah (Daerah Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) dan Pulau Pinang mulai Isnin, 1 November 2010 sehingga Rabu, 3 November 2010.
Keadaan ini boleh menyebabkan banjir di kawasan-kawasan yang berkedudukan rendah dan berdekatan tebing-tebing sungai.

AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA
SEKSYEN A : AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI
KETIGA) Kemaskini

Lekukan Tropika dikesan berada kira-kira 256km ke Timur perairan pantai Kelantan (Latitud 5.6 Utara Longitud 104.5 Timur) pada jam 8.00 pagi, 1 November 2010. Lekukan tropika ini dijangka bergerak ke arah Barat Laut dengan kelajuan 22 kmsj. Sehubungan itu, angin kencang Timur Laut/Barat Laut dengan kelajuan dari 60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian dari 5.5 meter yang berlaku di perairan Samui
Selatan(Kelantan dan Terengganu), Pahang, Kuching, Samui Utara, Condore, Bunguran, Reef North dan Pulau Layang-Layang dijangka berterusan sehingga Khamis, 4 November 2010.
Selain daripada itu, kawasan pantai Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor Timur, Kuching dan Sarikei terdedah kepada kejadian kenaikan paras air laut disebabkan oleh angin kencang dan ombak kuat. Keadaan ini dijangka berterusan sehingga Khamis, 4 November 2010.
Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada kepada semua aktiviti pantai dan perkapalan termasuk pekerja di pelantar minyak.

SEKSYEN B: AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI
KEDUA) Kemaskini

Angin kencang Timur Laut/Barat Laut dengan kelajuan 50-60 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 4.5 meter, di kawasan perairan Johor Timur dijangka berterusan sehingga Khamis, 4 November 2010. Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini berbahaya kepada semua aktiviti perkapalan dan pantai termasuk menangkap ikan dan perkhidmatan feri.

SEKSYEN C: AMARAN ANGIN KENCANG DAN LAUT BERGELORA (KATEGORI
PERTAMA) Kemaskini

Angin kencang Timur Laut dengan kelajuan 40-50 kmsj dengan ombak mencapai ketinggian sehingga 3.5 meter yang berlaku di perairan Perlis, Langkawi, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor Barat, Sarawak(Betong, Mukah, Bintulu, Miri dan Limbang), W.P Labuan, Sabah(Pedalaman, Pantai Barat dan Kudat), Reef South, Palawan dan Phuket dijangka berterusan sehingga Khamis, 4 November 2010. Keadaan angin kencang dan laut bergelora ini adalah berbahaya kepada bot-bot kecil,rekreasi laut dan sukan laut.


Jabatan Meteorologi Malaysia
Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi
01 November 2010

1 comments:

  1. phergh..
    gilak la..
    pa kata u menjala ikan kompom byk n laku klo d jual??
    dpd dok saje? hihi :D

Related Posts with Thumbnails