Wednesday, October 31, 2012

Nurul Salwa Al-Fateh. Pertemuan pertama kali dengan wanita hebat seperti Nurul Salwa Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan. Pelajar perundangan syariah yang sangat hebat tentang hukum agama. Penegak keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu tabik aku kepada Nurul Salwa Al-Fateh. Namun apa yang pasti, wanita ini sebenarnya amat sukar untuk didekati. 

Terlalu sukar. 

Wanita yang begitu sibuk beribadah dan berhubung dengan kekasihNya menyebabkan dia sentiasa menyendiri daripada kelompok manusia yang sibuk dengan kehidupan sosial masing-masing. Jika dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh, terlalu jauh perbezaan kami berdua. Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut syariat padahal aku pula banyak melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku mahu memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu.

 Aku seperti telah jatuh hati pada wanita yang hujung namanya Al-Fateh itu. 

Tapi, bolehkah aku memilikinya? Sedangkan kehidupan kami berdua saja sudah boleh membezakan aku yang jahat dan dia yang baik. Hati ini sukar untuk dijangka. Bila aku tidak memerlukan cinta, ia datang menyinggah. Bila diperlukan, ia tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan yang bernama cinta. Tetapi pada suatu hari, terjadi satu peristiwa yang telah mengubah kehidupanku. 

Aku bertemu Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika itu, dia berada di perpustakaan kampus dan pada waktu yang sama, aku sedang mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja khusus yang diberikan oleh pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi salam dan meminta aku mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku begitu terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa Al-Fateh. Memang benar kata para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa. "Errr... Encik? Boleh ambilkan saya buku yang tidak jauh dari tempat encik berdiri?" Aku pun mengambil buku tersebut setelah lamunan aku terhenti. Aku memberanikan diri untuk bertanya padanya adakah betul dia Nurul Salwa Al-Fateh. 

Dia tersenyum. 

Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis bersama lesung pipitnya itu. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berlalu seraya meninggalkan aku salam. Hatiku berdebar-debar. Aura Nurul Salwa Al-Fateh masih bersama denganku.Sejak dari itu, aku mula kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu. Ke mana saja dia pergi, aku pun mengikutinya. Segala aktiviti Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya tiada beza seperti Saidatina Fatimah Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia dengan Ummu Abiha itu. Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan mengikuti aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit, aku telah berubah. Dahulu gaya hidupku terlalu kebaratan.

 Di dalam rumahku ini aku sedar tiada sedikit pun sinar Islam. Botol arak tersimpan kemas di dalam almari. Maksiat bermaharajalela di rumah ini. Aku sangat berasa jahil dan sememangnya aku jahil dalam bab agama. Aku ingin berubah menjadi yang lebih baik. Aku tidak mahu tersesat di jalan yang lagi menyesatkan ini. Namun pada siapa harus aku bertemu? Sedang asyik aku duduk di tasik buatan kampus, hadirnya wanita idaman semua lelaki. Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa temannya menyapaku.

 Mungkin dia terlihat aku di dalam masalah. Entah bagaimana dia boleh tahu tentang masalah yang dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh menyerahkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa dengan orang tersebut. Kemudian dia pun pergi bersama-sama rakannya dengan meninggalkan aku salam. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon bimbit lalu mendail nombor tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad tidaklah panjang. Aku hanya meminta untuk berjumpa. 

 Pada malam itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di sebuah masjid tidak jauh daripada kediamanku. Aku menceritakan segala kisah hidupku dan meminta Ustaz Muhammad membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz Muhammad menerimaku sebagai anak didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku mula belajar untuk mengambil wuduk kemudian solat. Setelah itu aku mula membaca surah-surah lazim.

 Bermula dengan surah Al-Fatihah dan 3 surah Qul. Dalam masa beberapa hari aku sudah menguasainya. Aku umpama bayi. Bayi yang mula-mula hanya tahu merangkak. Cuba berdiri dan berjalan tetapi pada suatu saat, aku tersungkur. Walaupun sering aku rasa kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku berdiri lagi dan berjalan perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu melaksanakan perintah Allah yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam barzakh, solat. Usai saja solat Zohor di masjid kampus, aku terserempak dengan Nurul Salwa Al-Fateh. Aku menyapanya dengan memberi salam. Nurul Salwa Al-Fateh yang ketika itu bersama temannya memalingkan wajah ke belakang dan menjawab salam yang aku berikan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz Muhammad. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya membantu mempertemukan saja aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu. 

Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta diri, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Aku pun pergi meninggalkan Nurul Salwa Al-Fateh dengan sebuah senyuman yang telah aku khaskan buatnya. Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar Nurul Salwa Al-Fateh dilamar oleh seorang ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Bekas pelajar Universiti Al Azhar. Tetapi ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Ramai lelaki yang telah cuba melamar Nurul Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya pulang dengan hampa kerana lamaran masing-masing telah ditolak olehnya. Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa Al-Fateh bukan calang-calang orang. Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak orang berada. Di hatiku timbul satu soalan: 

Siapakah yang boleh mendapatkan Nurul Salwa Al-Fateh itu?

 Seperti biasa, aku akan berada di masjid bersama-sama Ustaz Muhammad pada setiap malam Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama dengannya. Memperbetulkan tajwid jika aku tersalah. Malam itu, aku merasakan bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz Muhammad menjadi hairan. Apakah yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa setiap bacaanku menjadi salah? Ustaz Muhammad meminta aku berhenti membaca. Takut jika aku terus membaca, banyak lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa gundah gulana. Wajah Nurul Salwa Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku andai aku mempunyai masalah. Aku telah menganggap Ustaz Muhammad seperti ayahku sendiri dan begitu senang untuk aku bercerita kepadanya.

 Aku menceritakan kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh itu. Ketika aku bercerita, aku tidak mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh. "Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar pada dinding masjid tersenyum. "Saya dan wanita itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk saya melamar wanita solehah itu padahal sebelum saya, ramai lelaki yang telah pulang dengan hampa kerana lamaran sudah ditolak. Jika saya yang pergi melamarnya, sudah pasti ditolak oleh wanita itu," jawabku. Tiba-tiba Ustaz Muhammad ketawa. "Bagaimana kamu tahu kamu ditolak oleh wanita itu padahal kamu belum mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya bagaimana. Mungkin wanita itu akan menerima kamu sebagai suaminya," kata Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Ustaz Muhammad. 

 Kemudian Ustaz Muhammad menceritakan kisah Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh khsuyuk cerita yang diceritakan oleh Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya dipendamkan kerana takut melebihi cinta kepada Allah. Namun cinta mereka itu disatukan juga. Aku begitu kagum kepada Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu sabar bagi menunggu cintanya.



 "Namun saya bukan Saidina Ali, ustaz. Saya hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Saya mungkin tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia mungkin layak untuk orang lain. Bukan saya, ustaz," kataku kepada Ustaz Muhammad. "Jika kamu bukan Saidina Ali, wanita itu juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Aku yakin kamu pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Muhammad memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu agar mengetahui jawapannya. 

Aku melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika lamaranku ditolak, aku redha. Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa Al-Fateh. Berbekalkan doa, aku memberanikan diri berjumpa orang tua Nurul Salwa Al-Fateh. Semasa aku bertemu orang tua Nurul Salwa Al-Fateh, aku begitu terkejut besar sehingga menyebabkan aku tidak dapat berkata-kata. 

Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul Salwa Al-Fateh itu adalah Ustaz Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh gembira oleh Ustaz Muhammad. Aku berasa seperti dalam mimpi! "Apakah kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?" soal Ustaz Muhammad. Aku menjadi sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan apa yang sudah tersirat di hati. Aku menarik nafas. 

 "Maaf kalau saya mengganggu ustaz, tetapi kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya tahu saya bakal ditolak tetapi saya mahu mencubanya dahulu. Saya ingin melamar Nurul Salwa Al-Fateh menjadi isteri saya. Menjadi peneman hidup saya," kata aku menyatakan kedatanganku kepada Ustaz Muhammad. "Persoalan yang bermain di minda dan di hatimmu itu bakal dijawab sendiri oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Andai dia menerima, aku juga akan menerima. Andai ditolak, redhakan saja," kata Ustaz Muhammad. Aku hanya menganggukkan kepala. 

Ustaz Muhammad pun memanggil Nurul Salwa Al-Fateh ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada dia menerima lamaranku atau menolaknya. Aku perlu bersedia. "Abah, Salwa pernah mendengar ada lelaki yang mengatakan dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali kepada puteri Rasulullah SAW. Sedangkan Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya. Setiap hari Salwa menunggu lelaki itu melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Salwa telah tamat, abah. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Salwa maksudkan adalah Muhammad Zoriffudin. 

Lelaki yang menjadi anak didik abah. Dengan itu, Salwa menerima lamaran lelaki yang ada di hadapan abah," jawab Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa begitu gembira sehingga melakukan sujud syukur. Ya Allah, terima kasih! Siapa menyangka penghujungnya indah? Aku yang dahulunya berfikiran akan ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima lamaranku. 

Aku bukanlah sehebat lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan luas ilmu agama. Aku masih lagi dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana tiada yang mengembalikan tulang rusukku yang hilang. 

Aku yang perlu mencarinya kembali dan akhirnya aku menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku yang hilang dan tulang rusukku itu adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti Muhammad.

RK: Cerpen ini diambil dari iluvislam bagi pengajaran bersama
Teruskan Pembacaan...

Tuesday, October 30, 2012

Salam sejahtera ke atas anda semua,musim cuti sekolah yang bakal mendatang lagi 2 minggu ni,RK menerima beberapa kad jemputan atau secara facebook rakan-rakan pengajian dulu yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka dengan insan terpilih sekaligus melengkapkan separuh agama mereka.

Moga anda semua dapat melayari alam perkahwinan dengan pasangan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan berada dalam kebahagiaan hingga ke akhir hayat anda semua.Disini RK tujukan munajat ni kepada anda semua yang akan menamatkan zaman bujang.

Munajat sebuah Perkahwinan

Ya Allah…

Kami menzahirkan diri kami pada hari ini untuk sama-sama meraikan pembentukan sebuah lagi masjid umatmu.
Berkatilah Ya Allah kahadiran kami ini semoga berkatmu ini akan mejadi penyubur pada pembinaan perkahwinan yang penuh dengan mawaddah dan rahmah.

Ya Allah… Ya Rabbana…

Kami hanya mampu menadah tangan kepadamu dan memohon kepadamu dengan penuh munajat agar apa yang kami minta ini dimakbulkan.
Sekiranya pada diri kami masih ada kesalahan dan dosa, janganlah Ya Allah perkara ini menjadi penghalang pada termakbulnya doa kami yang terbit dari hati yang ikhlas dan dari jiwa yang mengharapkan kebesaran serta keampunanmu.




Wahai Tuhan… 


Kami berdoa agar kedua mempelai ini akan terus melengkapkan iman mereka melalui perkahwinan mereka, bekalkan mereka dengan kasih sayang sejati, perasaan belas kasihan yang hakiki, tekad usaha yang tidak mengenal penat, tawakkal kepada mu yang tidak mengenal pasrah, kesetiaan antara satu sama lain yang terpenting keimanan padamu yang tidak mengenal ingkar. 

Ya Rahman … Ya Rahim… 



Insafikan mereka berdua ini bahawa kejayaan perkahwinan mereka bukan bermula dengan kekayaan, bukan bertapakkan kedudukan dan bukan bersemarak dengan pujian. 

Insafikan mereka Ya Allah sebagaimana juga kami yang lain telah diinsafi bahawa kebahagiaan perkahwinan mereka bermula dengan tidak lupa kepadamu, dengan sentiasa merindukan kehadiranmu dan berkekalan mensyukuri nikmat iman anugerahmu. 

Kurniakan kepada mereka berdua sifat saling kukuh mengukuh sebagaimana berlakunya antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah, kerana mereka berdua akan melalui jalan yang tidak lekang dari diuji. 

Kurniakan kepada isteri kesetiaan kepada suaminya sebagaimana kesetiaan Zainab Binti Muhammad. Pengabdian kepada Allah ta’ala sebagaimana pengabdian Rabi’ah Al-‘Adawiyyah dan iltizam untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah sebagaimana yang ada pada diri Sumayyah. 



Kurniakan kepada si suami, kebijaksanaan membimbing isterinya ke ambang syurga dan semoga ia sabar dengan apa yang menduganya sebagaimana Nabi Allah Ayyub a.s bersabar tehadap imannya, kesihatannya dan keluarganya 


Ya Allah 

Sesungguhnya tidak ada doa yang susah bagimu untuk memakbulkan doaku bagi kami yang sama-sama menghadiri majlis pada hari ini. 

Insafi juga diri kami agar kami mampu menjadi contoh yang hidup bagi kedua mempelai ini. Bagi ahli keluarga kedua mempelai yang telah kembali ke rahmatmu izinkan roh mereka saat-saat kebahagiaan mereka berdua. 

Semoga anak, cucu dan keturunan mereka akan merupakan insan-insan yang bakal menjadi tunggak agama mu dan tanah air yang kami cintai ini. 


RK : Bila lagi?..kah kih keh.belum sampai rahmat kahwin lagi.Insyaallah rahsianya akan diketahui nanti bila hari tiba rahmat tersebut.

Teruskan Pembacaan...

Monday, October 29, 2012

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara di hatiku melagukan rindu
Kiranya engkau mampu mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terucap

Pasti dirimu kan memahami
Harapan kasih yang terbina
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu

Bukanlah aku sengaja
Melindungi rasa di jiwa
Namun bimbang diri kan terleka
Hanyut dibuai angan dan mimpi indah
Hingga terabai segala cita
Sedang khayalan tak menjanjikan
Segunung kebahagiaan
Sebagai mahar hantaran

Apakah mungkin engkau mengerti
Setiap cinta yang dilafazkan
Bukanlah sekadar mainan
Tetapi sebuah janji

Andainya dapat engkau mendengarkan
Suara dihatiku melagukan rindu
Kiranya engkau bias mentafsirkan
Setiap bait kata-kata yang terungkap

Pasti dirimu dapat melihat
Rahsia kasih yang terpendam
Sekian lama di sudut hatiku
Hanyalah untukmu
Selamanya..



Teruskan Pembacaan...

Selagi hayatmu di sini
akan kau meniti hari demi hari
suratan takdir yang menerka
bukan alasan untuk kau memendam luka...

Dirimu umpama purnama
yang hilang cahaya dimamah gerhana
terbenam di lubuk gelita
terbiar dirimu dicengkam derita

Namun ku percaya suatu masa akan tiba
deritamu akan pergi jua
biarpun dunia memandangmu hina
tapi tak mengapa
ku kan bersamamu
mengharungi hidup ini...

Biarkan mereka kata apa saja
biarkan mereka mencemuh menghina
pedulikan saja halangan yang tiba
semua itu adalah dugaan dariNya

Tabahkan hatimu cekalkan jiwamu
pasrahkan dirimu padaNya Yang Satu
akan tiba waktu mereka kan tahu
siapakah sebenarnya dirimu...
Teruskan Pembacaan...

Thursday, October 25, 2012

at 8:15 AM Labels: , 0 comments

gua letak lu kat tempat terindah dalam hati gua

gua terima lu seadanya lu
gua tak pandang yang lain selain lu
tapi lu tetap nak terbang bebas
lu tak percaya
gua tak mampu nak yakinkan lu
gua harap lu dapat dahan untuk berteduh di langit luas sana
gua yakin kalau jodoh kuat lu dengan gua akan bersatu semula
6 tahun tu gua rasa singkat
6 tahun tu gua rasa tahap yakin lu semakin kurang kat gua
6 tahun gua hanya setia kat lu
6 tahun gua yakin sama hubungan lu dengan gua
gua minta lu untuk bersabar
gua minta lu untuk percaya 
gua minta lu untuk jangan ke mana-mana
gua minta lu sentiasa disisi gua
sebab lu gua kuat untuk berusaha menghalalkan lu untuk gua
tapi lu rapuh
hati lu terlalu tinggi was-was
lu minta berulang kali untuk terbang bebas,tapi gua tahan lu
gua takmau lu pergi mana-mana
gua nak lu sini dengan gua sampai bila-bila
gua akan terima kenyataan ini
gua akan reda andai lu bukan untuk gua
gua minta lu pun terima dengan keputusan yang lu minta
gua takmau tahan lu lagi sebab lagi tahan nanti gua takut lu terpaksa
moga lu hidup dengan bahagia cari dahan untuk menumpang teduh
moga lu aman dan tenang dengan orang yang lebih faham lu
gua kat sini duduk diam-diam
perhati sama lu.
lu bahagia,lu dah diijabkabul nanti,lu dah sah hak orang lain
gua angkat kaki pergi
gua mula hidup baru
sebab gua nak lu bahagia sampai saat lu jadi milik orang lain
baru gua rasa lega untuk lu
gua akan melangkah dengan cara baru dengan hidup baru
gua terima takdir
tapi gua nak lu tau gua tunggu lu
kalau lu nak patah balik,gua terima bila-bila masa
kalau lu ada nak kongsi dengan gua,lu cari gua nanti
gua sentiasa ada untuk lu
sebab gua hanya ada lu.
terima kasih selama 6 tahun
gua akan ingat sampai bila-bila
gua juga manusia marhaen
gua juga punya silap
sempena 9 Zulhijjah ini,
gua minta maaf sama lu
hujung kaki bertemu hujung rambut
gua tunggu lu gua tunggu lu...
selamat tinggal,jaga diri lu,gua tau lu boleh buat,gua tau lu dah kuat,gua tau lu hebat.
Assalamualaikum.Titik
Teruskan Pembacaan...

Wednesday, October 24, 2012

susahnya bila mendapat sebuah kesenangan

sukarnya bila mendapat sebuah pujian
tanggunglah akibat fitnah
tanggunglah akibat dustanya.

itu dunia disini
entah mengaum atau berkokok
ragamnya sukar dituruti
sifatnya mudah lebur dan basi
biasnya dari telinga ke kaki

enak bukan berbahasa dusta
manis bukan rasa berdekah kepada si mangsa
rasa tuan pemilik masa adalah diri sendiri

jangan difikirkan anaknya tak besar
jangan diakalkan saudara maranya tiada didunia
rasa itu pasti balik kepada mereka
andai bukan diri pasti yang dicintai
sepatah kata biarlah berakal
seikat tawa biarlah jujur
selangkah hinaan biarlah bersempadan.
Teruskan Pembacaan...

Monday, October 22, 2012


Dalam mengenang kisah hidup silam
Ku sedar dari kesilapan lalu
Tuhan beratnya dosa-dosaku
Masihkah ada ampunan buatku
Tuhan…
Dalam menempuh hidup ini
Banyaknya dugaan datang menguji
Tuhan…
Ada yang dapatku gagahi
Dan ada yang gagal ku hindari

Tuhan…
Dosaku menggunung tinggi
Tapi taubatku tak kutepati
Tuhan…
Rahmat-Mu melangit luas
Terlalu sedikit ku bersyukur
Kini kukembali pada-Mu
Mengharap maghfirah dari-Mu
Mogakan terampunlah dosa-dosaku
Biarpun ujian melanda
Ku tetap berkasih pada-Mu
Kerna kuyakin kasih-Mu
Kekal tiada sudahnya…
Teruskan Pembacaan...

Sunday, October 14, 2012

Pada setiap petang Jumaat, selepas solat Jumaat, selepas melayani para jamaah di Masjid, Imam dan putera lelakinya yang berumur 11 tahun akan keluar ke bandar untuk mengedarkan risalah bertajuk “Jalan Ke Syurga” dan juga menyampaikan ceramah agama.

Pada petang Jumaat itu, seperti biasa Imam dan putera lelakinya akan keluar untuk mengedarkan risalah. Bagaimanapun pada petang tersebut keadaan di luar rumah sangat sejuk dan hujan pula turun dengan sangat lebat.

Budak itu memakai baju sejuk dan baju hujan dan berkata “OK ayah, saya sudah bersedia”. Ayahnya berkata “Bersedia untuk apa?”. Budak itu menjawab “Ayah, masa telah tiba untuk kita keluar mengedarkan buku-buku tentang Islam ini”. Ayahnya membalas “Anakku, di luar sana sangat sejuk dan hujan lebat pulak”.

Dengan muka yang kehairanan, budak itu bertanya ayahnya, “Tetapi ayah, adakah manusia tidak masuk neraka jika hari hujan?”

Ayahnya menjawab, “Anakku, Ayah tak akan keluar dengan cuaca begini..”. Dengan nada sedih, budak itu bertanya, “Ayah, boleh tak benarkan saya pergi?”. Ayahnya teragak-agak seketika, kemudian berkata, “Anakku, awak boleh pergi. Bawalah buku ini semua dan berhati-hati” .

Kemudian, budak itu telah keluar dan meredah hujan. Budak sebelas tahun ini berjalan dari pintu ke pintu dan lorong-lorong sekitar bandar. Dia memberikan risalah dan buku kepada setiap orang yang ditemuinya.

Setelah dua jam berjalan dalam hujan, akhirnya tinggal hanya satu naskhah padanya. Ketika itu dia telah basah kuyup dan berasa sejuk hingga ke tulang. Budak itu berhenti di satu penjuru jalan sambil mencari seseorang untuk diberikan buku tersebut. Namun keadaan di situ lengang.

Kemudian dia berpatah balik ke rumah pertama yang dia lalu di lorong itu. Dia berjalan di kaki lima menuju ke rumah tersebut. Bila sampai di pintu hadapan, dia menekan suis loceng namun tiada sesiapa yang membuka pintu. Dia tekan lagi dan lagi, tetapi masih tiada jawapan. Dia tunggu lagi tetapi masih tiada jawapan.

Akhirnya dia berpaling untuk meninggalkan rumah tersebut, tetapi seperti ada sesuatu yang menghalangnya. Dia kembali ke pintu itu dan menekan lagi suis loceng dan buat pertama kalinya mengetuk pintu dengan kuat. Dia tunggu, kemudian seperti sesuatu di anjung rumah itu menghalangnya supaya jangan pergi. Dia menekan suis loceng sekali lagi dan kali ini dengan perlahan pintu dibuka.

Berdiri di hadapan pintu itu seorang perempuan tua yang berwajah kesedihan. Dengan perlahan perempuan tua itu bertanya, “Apa yang boleh saya bantu awak, wahai budak?”.

Dengan senyuman serta mata yang bersinar yang boleh menyinarkan bumi, budak itu berkata, “Makcik, saya mohon maaf kalau saya telah mengganggu makcik. Saya hanya ingin memberitahu bahawa Allah sangat sayang dan sentiasa melindungi makcik. Saya datang ini hendak memberikan sebuah buku yang terakhir ada pada saya ini. Buku ini menerangkan semua tentang Tuhan, tujuan sebenar Tuhan menjadikan kita dan bagaimana untuk mencapai kebahagiaan daripada-Nya” .

Kemudian, budak itu menyerahkan buku terakhir itu dan berpaling untuk balik. Sebelum berjalan balik, perempuan itu berkata, “Terima kasih ya anak dan semoga Tuhan memberkatimu” .

Selepas solat Jumaat pada minggu berikutnya, Imam menyampaikan ceramah agama seperti biasa. Dia menamatkan ceramahnya dengan bertanya, “ Ada sesiapa yang ingin bertanya soalan atau ingin berkata sesuatu?”.

Dengan perlahan, di barisan belakang di kalangan tempat duduk muslimat, suara seorang perempuan tua kedengaran di speaker, “Tiada di kalangan jemaah yang berkumpul ini mengenali saya. Saya tidak pernah hadir sebelum ini. Sebelum hari Jumaat yang lepas, saya belum lagi memeluk agama Islam bahkan tidak terfikir langsung untuk memeluknya. Suami saya telah meninggal dunia beberapa tahun yang lalu, meninggalkan saya sebatang kara, saya benar-benar keseorangan di dunia ini.

Pada petang Jumaat yang lepas, ketika cuaca sejuk dan hujan lebat, saya telah bertekad untuk membunuh diri kerana sudah putus harapan untuk hidup. Jadi saya mengambil seutas tali dan sebuah kerusi lalu menaiki loteng di rumah saya. Saya ikat tali tersebut dengan kuat pada kayu palang di bumbung rumah kemudian berdiri di atas kerusi, hujung tali satu lagi saya ikat di sekeliling leher saya. Sambil berdiri di atas kerusi, saya berasa benar-benar keseorangan, patah hati. Saya hampir-hampir hendak melompat tiba-tiba loceng pintu berbunyi di tingkat bawah dan saya tersentak. Saya berfikir untuk menunggu sebentar, dan pasti orang itu akan pergi.

Saya tunggu dan tunggu, tetapi bunyi loceng semakin kuat dan bertubi-tubi. Kemudian orang yang menekan suis loceng itu, mengetuk pintu pula dengan kuat. Saya berfikir sendirian lagi “Siapalah di muka bumi ini yang boleh buat begini? Tiada siapa pernah tekan suis loceng itu atau nak berjumpa dengan saya”. Saya longgarkan tali ikatan di leher dan kemudian pergi ke pintu hadapan. Ketika itu bunyi loceng kuat dan semakin kuat.

Bila saya buka pintu dan lihat, sukar untuk dipercayai oleh mata saya, di anjung rumah saya itu berdiri seorang budak yang sangat comel yang bersinar wajahnya seperti malaikat, tidak pernah saya jumpa sebelum ini di dalam hidup saya. Budak itu tersenyum. Oh! Saya tidak dapat hendak gambarkan kepada anda semua. Perkataan yang keluar daripada mulutnya menyebabkan hati saya yang telah lama mati tiba-tiba hidup semula, seruan budak itu seperti suara bayi yang sangat comel. “Makcik, saya datang hendak memberitahu bahawa Allah sangat menyayangi dan sentiasa melindungi makcik”. Kemudian dia memberikan kepada saya sebuah buku bertajuk “ Jalan Ke Syurga” yang saya sedang pegang ini.

Bila “malaikat kecil” itu telah pulang meredah sejuk dan hujan, saya menutup pintu dan membaca dengan perlahan setiap perkataan yang tertulis di dalam buku tersebut. Kemudian saya naik semula ke loteng untuk mendapatkan semula tali dan kerusi. Saya tak perlukannya lagi.

Oleh sebab di belakang buku ini ada tertera alamat tempat ini, saya sendiri datang ke masjid ini ingin mengucapkan syukur kepada Tuhan. Tuhan kepada budak kecil yang telah datang tepat pada waktunya, yang dengan demikian telah terhindar jiwa saya daripada keabadian di dalam neraka. 

Ramai yang berada di dalam masjid ketika itu menitiskan air mata. Mereka melaungkan TAKBIR…ALLAH HU AKBAR…gemaan takbir bergema di udara. Imam iaitu ayah kepada budak itu turun dari mimbar pergi ke barisan hadapan di mana “malaikat kecil” itu sedang duduk.

Dia mendakap puteranya dengan air mata keluar tanpa disedarinya. Mungkin tidak ada jemaah yang memiliki saat yang lebih mulia ini dan mungkin di alam semesta ini belum pernah melihat seorang ayah yang penuh kasih sayang dan penghormatan terhadap anaknya. Inilah satu peristiwa..

Berbahagialah anda kerana membaca kisah ini. Jangan biarkan kisah ini di sini sahaja. Bacalah lagi dan sampaikan kepada yang lain. Syurga adalah untuk umat-Nya. Ingatlah, dengan menyebarkan firman Allah boleh mengubah hidup seseorang yang hampir dengan anda. Sila kongsi kisah menarik ini.

Sebarkanlah kalimah Allah, kalau kita bantu Allah, Allah akan membantu kita dalam semua perkara yang kita buat.

Maksud firman Allah dalam Surah al-Maidah ayat 3;

“… …pada hari ini, orang-orang kafir telah putus asa (daripada memesongkan kamu) dari agama kamu (setelah mereka melihat perkembangan Islam dan umatnya), sebab itu janganlah kamu takut dan gentar kepada mereka, sebaliknya hendaklah kamu takut dan gentar kepadaKu. Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu, maka sesiapa yang terpaksa kerana kelaparan (memakan benda-benda yang diharamkan) sedang ia tidak cenderung hendak melakukan dosa (maka bolehlah ia memakannya), kerana Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
_________________
Teruskan Pembacaan...