Showing posts with label akad nikah. Show all posts
Showing posts with label akad nikah. Show all posts

Wednesday, October 31, 2012

Nurul Salwa Al-Fateh. Pertemuan pertama kali dengan wanita hebat seperti Nurul Salwa Al-Fateh pasti tidak mampu dilupakan. Pelajar perundangan syariah yang sangat hebat tentang hukum agama. Penegak keadilan. Pembanteras kezaliman. Begitu tabik aku kepada Nurul Salwa Al-Fateh. Namun apa yang pasti, wanita ini sebenarnya amat sukar untuk didekati. 

Terlalu sukar. 

Wanita yang begitu sibuk beribadah dan berhubung dengan kekasihNya menyebabkan dia sentiasa menyendiri daripada kelompok manusia yang sibuk dengan kehidupan sosial masing-masing. Jika dibandingkan aku dan Nurul Salwa Al-Fateh, terlalu jauh perbezaan kami berdua. Hidup Nurul Salwa Al-Fateh begitu mengikut syariat padahal aku pula banyak melanggarnya. Jauh di sudut hatiku, aku mahu memiliki Nurul Salwa Al-Fateh itu.

 Aku seperti telah jatuh hati pada wanita yang hujung namanya Al-Fateh itu. 

Tapi, bolehkah aku memilikinya? Sedangkan kehidupan kami berdua saja sudah boleh membezakan aku yang jahat dan dia yang baik. Hati ini sukar untuk dijangka. Bila aku tidak memerlukan cinta, ia datang menyinggah. Bila diperlukan, ia tidak mahu datang. Itulah lumrahnya perkataan yang bernama cinta. Tetapi pada suatu hari, terjadi satu peristiwa yang telah mengubah kehidupanku. 

Aku bertemu Nurul Salwa Al-Fateh. Pada ketika itu, dia berada di perpustakaan kampus dan pada waktu yang sama, aku sedang mencari bahan rujukan untuk menyiapkan kerja khusus yang diberikan oleh pensyarah. Tiba-tiba, Nurul Salwa Al-Fateh memberi salam dan meminta aku mengambil buku yang berada tidak jauh dari tempat aku berdiri. Aku begitu terkejut dan terpegun dengan keindahan Nurul Salwa Al-Fateh. Memang benar kata para pelajar di sini, dia pelajar yang luar biasa. "Errr... Encik? Boleh ambilkan saya buku yang tidak jauh dari tempat encik berdiri?" Aku pun mengambil buku tersebut setelah lamunan aku terhenti. Aku memberanikan diri untuk bertanya padanya adakah betul dia Nurul Salwa Al-Fateh. 

Dia tersenyum. 

Aku sungguh terpukau dengan senyuman manis bersama lesung pipitnya itu. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berlalu seraya meninggalkan aku salam. Hatiku berdebar-debar. Aura Nurul Salwa Al-Fateh masih bersama denganku.Sejak dari itu, aku mula kerap ke perpustakaan agar sentiasa bertemu wanita hebat itu. Ke mana saja dia pergi, aku pun mengikutinya. Segala aktiviti Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa aku ketahui. Sifat peribadinya tiada beza seperti Saidatina Fatimah Az-Zahra. Mungkin aku boleh samakan dia dengan Ummu Abiha itu. Nurul Salwa Al-Fateh sentiasa menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid dan mengikuti aktiviti kebajikan. Sedikit demi sedikit, aku telah berubah. Dahulu gaya hidupku terlalu kebaratan.

 Di dalam rumahku ini aku sedar tiada sedikit pun sinar Islam. Botol arak tersimpan kemas di dalam almari. Maksiat bermaharajalela di rumah ini. Aku sangat berasa jahil dan sememangnya aku jahil dalam bab agama. Aku ingin berubah menjadi yang lebih baik. Aku tidak mahu tersesat di jalan yang lagi menyesatkan ini. Namun pada siapa harus aku bertemu? Sedang asyik aku duduk di tasik buatan kampus, hadirnya wanita idaman semua lelaki. Nurul Salwa Al-Fateh bersama beberapa temannya menyapaku.

 Mungkin dia terlihat aku di dalam masalah. Entah bagaimana dia boleh tahu tentang masalah yang dihadapiku ini. Nurul Salwa Al-Fateh menyerahkan sekeping kertas yang tercatat padanya nama dan nombor telefon seseorang. Dia meminta aku untuk berjumpa dengan orang tersebut. Kemudian dia pun pergi bersama-sama rakannya dengan meninggalkan aku salam. Tanpa melengah-lengahkan masa, aku mengeluarkan telefon bimbit lalu mendail nombor tersebut. Perbualan antara aku dan Ustaz Muhammad tidaklah panjang. Aku hanya meminta untuk berjumpa. 

 Pada malam itu, aku berjumpa Ustaz Muhammad di sebuah masjid tidak jauh daripada kediamanku. Aku menceritakan segala kisah hidupku dan meminta Ustaz Muhammad membimbingku. Dengan hati yang besar, Ustaz Muhammad menerimaku sebagai anak didiknya. Kini aku mampu tersenyum. Aku mula belajar untuk mengambil wuduk kemudian solat. Setelah itu aku mula membaca surah-surah lazim.

 Bermula dengan surah Al-Fatihah dan 3 surah Qul. Dalam masa beberapa hari aku sudah menguasainya. Aku umpama bayi. Bayi yang mula-mula hanya tahu merangkak. Cuba berdiri dan berjalan tetapi pada suatu saat, aku tersungkur. Walaupun sering aku rasa kesakitan, tapi aku tidak mengalah. Aku berdiri lagi dan berjalan perlahan-lahan. Alhamdulilah, sekarang aku mampu melaksanakan perintah Allah yang menjadi perkara yang pertama dihisab di alam barzakh, solat. Usai saja solat Zohor di masjid kampus, aku terserempak dengan Nurul Salwa Al-Fateh. Aku menyapanya dengan memberi salam. Nurul Salwa Al-Fateh yang ketika itu bersama temannya memalingkan wajah ke belakang dan menjawab salam yang aku berikan. Aku mengucapkan terima kasih kepadanya kerana telah menemukan aku kepada Ustaz Muhammad. Nurul Salwa Al-Fateh menganggukkan kepala dan berkata dia hanya membantu mempertemukan saja aku dan Ustaz Muhammad. Tidak lebih daripada itu. 

Ya Allah, wanita di hadapanku ini sungguh merendah diri. Sebelum meminta diri, aku sekali lagi mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepadanya. Aku pun pergi meninggalkan Nurul Salwa Al-Fateh dengan sebuah senyuman yang telah aku khaskan buatnya. Beberapa hari kemudian, aku mendapat khabar Nurul Salwa Al-Fateh dilamar oleh seorang ustaz. Ustaz Salahuddin Al-Ayyubi. Bekas pelajar Universiti Al Azhar. Tetapi ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Ramai lelaki yang telah cuba melamar Nurul Salwa Al-Fateh tetapi kesemuanya pulang dengan hampa kerana lamaran masing-masing telah ditolak olehnya. Lelaki-lelaki yang melamar Nurul Salwa Al-Fateh bukan calang-calang orang. Kesemuanya kuat agama dan merupakan anak orang berada. Di hatiku timbul satu soalan: 

Siapakah yang boleh mendapatkan Nurul Salwa Al-Fateh itu?

 Seperti biasa, aku akan berada di masjid bersama-sama Ustaz Muhammad pada setiap malam Jumaat. Mengaji Al-Quran bersama dengannya. Memperbetulkan tajwid jika aku tersalah. Malam itu, aku merasakan bacaanku semuanya tidak betul sehingga Ustaz Muhammad menjadi hairan. Apakah yang bermain di fikiranku sebenarnya? Mengapa setiap bacaanku menjadi salah? Ustaz Muhammad meminta aku berhenti membaca. Takut jika aku terus membaca, banyak lagi kesalahan yang aku lakukan. Aku rasa gundah gulana. Wajah Nurul Salwa Al-Fateh bermain di minda. Patut saja aku tidak boleh membaca al-Quran dengan baik. Ustaz Muhammad bertanya kepadaku andai aku mempunyai masalah. Aku telah menganggap Ustaz Muhammad seperti ayahku sendiri dan begitu senang untuk aku bercerita kepadanya.

 Aku menceritakan kepadanya mengenai Nurul Salwa Al-Fateh itu. Ketika aku bercerita, aku tidak mahu menyebut nama Nurul Salwa Al-Fateh. "Kenapa tidak cuba untuk melamar wanita itu?" soal Ustaz Muhammad. Aku yang bersandar pada dinding masjid tersenyum. "Saya dan wanita itu umpama langit dan bumi. Bagaimana untuk saya melamar wanita solehah itu padahal sebelum saya, ramai lelaki yang telah pulang dengan hampa kerana lamaran sudah ditolak. Jika saya yang pergi melamarnya, sudah pasti ditolak oleh wanita itu," jawabku. Tiba-tiba Ustaz Muhammad ketawa. "Bagaimana kamu tahu kamu ditolak oleh wanita itu padahal kamu belum mencubanya? Belum cuba, kamu sendiri tidak akan tahu keputusannya bagaimana. Mungkin wanita itu akan menerima kamu sebagai suaminya," kata Ustaz Muhammad. Aku terdiam. Ada benarnya juga kata Ustaz Muhammad. 

 Kemudian Ustaz Muhammad menceritakan kisah Saidina Ali bin Abi Talib dan Saidatina Fatimah Az-Zahra. Aku mendengar penuh khsuyuk cerita yang diceritakan oleh Ustaz Muhammad. Cinta diam itu hanya dipendamkan kerana takut melebihi cinta kepada Allah. Namun cinta mereka itu disatukan juga. Aku begitu kagum kepada Saidina Ali bin Abi Talib yang begitu sabar bagi menunggu cintanya.



 "Namun saya bukan Saidina Ali, ustaz. Saya hanyalah hamba Allah yang serba kekurangan. Saya mungkin tidak layak untuk wanita itu. Wanita itu terlalu baik dan solehah. Dia mungkin layak untuk orang lain. Bukan saya, ustaz," kataku kepada Ustaz Muhammad. "Jika kamu bukan Saidina Ali, wanita itu juga bukan Saidatina Fatimah. Terlalu awal untuk berputus asa. Cubalah dahulu. Aku yakin kamu pasti akan memiliki wanita solehah itu." Kata-kata Ustaz Muhammad memberi aku semangat. Aku perlu mencuba dahulu agar mengetahui jawapannya. 

Aku melakukan solat hajat dan solat istikarah. Jika lamaranku ditolak, aku redha. Aku tahu aku tidak layak buat Nurul Salwa Al-Fateh. Berbekalkan doa, aku memberanikan diri berjumpa orang tua Nurul Salwa Al-Fateh. Semasa aku bertemu orang tua Nurul Salwa Al-Fateh, aku begitu terkejut besar sehingga menyebabkan aku tidak dapat berkata-kata. 

Lelaki yang menjadi ayah kepada Nurul Salwa Al-Fateh itu adalah Ustaz Muhammad. Kedatanganku disambut dengan penuh gembira oleh Ustaz Muhammad. Aku berasa seperti dalam mimpi! "Apakah kedatanganmu ke rumahku ini anak muda?" soal Ustaz Muhammad. Aku menjadi sedikit gementar. Ragu-ragu untuk meluahkan apa yang sudah tersirat di hati. Aku menarik nafas. 

 "Maaf kalau saya mengganggu ustaz, tetapi kedatangan saya ke sini membawa hajat yang besar. Saya tahu saya bakal ditolak tetapi saya mahu mencubanya dahulu. Saya ingin melamar Nurul Salwa Al-Fateh menjadi isteri saya. Menjadi peneman hidup saya," kata aku menyatakan kedatanganku kepada Ustaz Muhammad. "Persoalan yang bermain di minda dan di hatimmu itu bakal dijawab sendiri oleh Nurul Salwa Al-Fateh. Andai dia menerima, aku juga akan menerima. Andai ditolak, redhakan saja," kata Ustaz Muhammad. Aku hanya menganggukkan kepala. 

Ustaz Muhammad pun memanggil Nurul Salwa Al-Fateh ke ruang tamu dan bertanya kepadanya sama ada dia menerima lamaranku atau menolaknya. Aku perlu bersedia. "Abah, Salwa pernah mendengar ada lelaki yang mengatakan dia bukan sehebat Saidina Ali kerana kehebatan cinta Saidina Ali kepada puteri Rasulullah SAW. Sedangkan Salwa juga bukanlah Saidatina Fatimah Az-Zahra. Salwa juga ada kekurangannya. Setiap hari Salwa menunggu lelaki itu melamar, namun hampa. Sehinggalah hari ini, penantian Salwa telah tamat, abah. Lelaki itu hadir juga dan lelaki yang Salwa maksudkan adalah Muhammad Zoriffudin. 

Lelaki yang menjadi anak didik abah. Dengan itu, Salwa menerima lamaran lelaki yang ada di hadapan abah," jawab Nurul Salwa Al-Fateh. Aku rasa begitu gembira sehingga melakukan sujud syukur. Ya Allah, terima kasih! Siapa menyangka penghujungnya indah? Aku yang dahulunya berfikiran akan ditolak oleh Nurul Salwa Al-Fateh, tetapi diterima lamaranku. 

Aku bukanlah sehebat lelaki-lelaki lain yang bekerjaya tinggi dan luas ilmu agama. Aku masih lagi dalam keadaan kekurangan. Kekurangan kerana tiada yang mengembalikan tulang rusukku yang hilang. 

Aku yang perlu mencarinya kembali dan akhirnya aku menjumpainya. Bertemu kembali tulang rusukku yang hilang dan tulang rusukku itu adalah Nurul Salwa Al-Fateh binti Muhammad.

RK: Cerpen ini diambil dari iluvislam bagi pengajaran bersama
Teruskan Pembacaan...

Tuesday, October 30, 2012

Salam sejahtera ke atas anda semua,musim cuti sekolah yang bakal mendatang lagi 2 minggu ni,RK menerima beberapa kad jemputan atau secara facebook rakan-rakan pengajian dulu yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka dengan insan terpilih sekaligus melengkapkan separuh agama mereka.

Moga anda semua dapat melayari alam perkahwinan dengan pasangan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan berada dalam kebahagiaan hingga ke akhir hayat anda semua.Disini RK tujukan munajat ni kepada anda semua yang akan menamatkan zaman bujang.

Munajat sebuah Perkahwinan

Ya Allah…

Kami menzahirkan diri kami pada hari ini untuk sama-sama meraikan pembentukan sebuah lagi masjid umatmu.
Berkatilah Ya Allah kahadiran kami ini semoga berkatmu ini akan mejadi penyubur pada pembinaan perkahwinan yang penuh dengan mawaddah dan rahmah.

Ya Allah… Ya Rabbana…

Kami hanya mampu menadah tangan kepadamu dan memohon kepadamu dengan penuh munajat agar apa yang kami minta ini dimakbulkan.
Sekiranya pada diri kami masih ada kesalahan dan dosa, janganlah Ya Allah perkara ini menjadi penghalang pada termakbulnya doa kami yang terbit dari hati yang ikhlas dan dari jiwa yang mengharapkan kebesaran serta keampunanmu.




Wahai Tuhan… 


Kami berdoa agar kedua mempelai ini akan terus melengkapkan iman mereka melalui perkahwinan mereka, bekalkan mereka dengan kasih sayang sejati, perasaan belas kasihan yang hakiki, tekad usaha yang tidak mengenal penat, tawakkal kepada mu yang tidak mengenal pasrah, kesetiaan antara satu sama lain yang terpenting keimanan padamu yang tidak mengenal ingkar. 

Ya Rahman … Ya Rahim… 



Insafikan mereka berdua ini bahawa kejayaan perkahwinan mereka bukan bermula dengan kekayaan, bukan bertapakkan kedudukan dan bukan bersemarak dengan pujian. 

Insafikan mereka Ya Allah sebagaimana juga kami yang lain telah diinsafi bahawa kebahagiaan perkahwinan mereka bermula dengan tidak lupa kepadamu, dengan sentiasa merindukan kehadiranmu dan berkekalan mensyukuri nikmat iman anugerahmu. 

Kurniakan kepada mereka berdua sifat saling kukuh mengukuh sebagaimana berlakunya antara Rasulullah s.a.w dengan Khadijah, kerana mereka berdua akan melalui jalan yang tidak lekang dari diuji. 

Kurniakan kepada isteri kesetiaan kepada suaminya sebagaimana kesetiaan Zainab Binti Muhammad. Pengabdian kepada Allah ta’ala sebagaimana pengabdian Rabi’ah Al-‘Adawiyyah dan iltizam untuk menjadi isteri dan ibu yang solehah sebagaimana yang ada pada diri Sumayyah. 



Kurniakan kepada si suami, kebijaksanaan membimbing isterinya ke ambang syurga dan semoga ia sabar dengan apa yang menduganya sebagaimana Nabi Allah Ayyub a.s bersabar tehadap imannya, kesihatannya dan keluarganya 


Ya Allah 

Sesungguhnya tidak ada doa yang susah bagimu untuk memakbulkan doaku bagi kami yang sama-sama menghadiri majlis pada hari ini. 

Insafi juga diri kami agar kami mampu menjadi contoh yang hidup bagi kedua mempelai ini. Bagi ahli keluarga kedua mempelai yang telah kembali ke rahmatmu izinkan roh mereka saat-saat kebahagiaan mereka berdua. 

Semoga anak, cucu dan keturunan mereka akan merupakan insan-insan yang bakal menjadi tunggak agama mu dan tanah air yang kami cintai ini. 


RK : Bila lagi?..kah kih keh.belum sampai rahmat kahwin lagi.Insyaallah rahsianya akan diketahui nanti bila hari tiba rahmat tersebut.

Teruskan Pembacaan...

Tuesday, June 12, 2012

Alhamdulillah,selesai cuti sekolah dua minggu,maka selesai jugaklah majlis perkahwinan saudara mara,sahabat handai antaranya Fakhzan & Mira, Zawani dan Syafiq, Maklang dan suaminya dan lain-lain lagi.

Harap perkahwinan anda semua menjadi satu titik sejarah dalam kehidupan berkeluarga mendatang ini.Hadapi cabaran dugaan sebagai suami isteri dengan berpandukan syariat Islam hendaknya.Amin.

Jadi sempena dengan kenduri bagai nak rak yang setengahnya sampai 7 hari 7 malam punya kenduri,RK dengan berbesar hati memasukkan cerita Ibadat Versus Adat untuk perhatian anda semua.>>>>

"Tak payahlah nak mengada sangat. Lupakan dia. Kau tu doktor, mana ada class dengan mamak mat dispatch tu. Kalau si mamak tu tak ada RM 20k, tiada kereta, tiada rumah, kerja cukup-cukup makan. Jangan ada hati nak kahwin dengan kau" si anak perempuan tertunduk pasrah sambil tisu di tangan mengesap pipi, mendengar si ibu berleter.

"Kalau boleh mas kahwin RM22,222.22 tunai. Dapatkan hak eksklusif siaran langsung TV11. Buat di Hotel Hilton. Catering untuk 10k tetamu. Pelamin di raja. Pakaian pengantin 3 pasang. Ada sesi photography di Zoo Negara. Hantaran 7 dulang, RM1k setiap satu. Bla bla bla..." si ibu yang terlebih excited, manakala si anak yang nak kahwin tetiba membuat muka seposen.

Apabila acuan material terbentuk di dalam minda masyarakat, mahar hantaran menjadi tinggi sehingga membawa implikasi buruk kepada teruna dan dara. Ibu bapa memohon mahar dan hantaran yang tinggi seolah-olah menggali lubang durjana untuk anak gadis mereka dan diri sendiri.

Tiada lagi tuntutan pada sunnah Nabi s.a.w. Mudah dan memudahkan. Tiada lagi ciri agama diletakkan di hadapan. Berduit, baik keturunan, dan rupa paras itu adalah satu pakej lengkap yang datang bersama agama.

"Dari Amir bin Rabi’ah bahawa seorang perempuan dari suku Fazarah telah berkahwin dengan mas kahwin sepasang sepatu. Lalu Rasulullah S.A.W. bertanya, “Kamu sanggup diri kamu dimiliki dengan mas kahwin sepasang sepatu ini? Jawab perempuan tersebut, “Ya,” (Direkodkan oleh Imam Ahmad, Ibnu Majah dan Tirmizi)




Terdapat beberapa tips yang boleh diketengahkan dan digunapakai kepada setiap pasangan yang berkira-kira untuk naik pelamin, namun berdepan situasi sukar seperti masalah kewangan.

1) Cadangkan kepada pihak keluarga si perempuan, dengan persetujuan semua agar hantaran berdulang-dulang tadi ditukar dalam bentuk dalam bentuk simpanan emas, saham atau saham amanah. Tidak ketinggalan perlindungan lengkap takaful. Cara ini tidak akan membebankan bakal suami. Dan pasangan mempunyai satu jaminan masa depan.

2) Bersederhana dalam walimah atau kenduri. Paling kurang korbankan seekor anak kambing dan 7 ekor ayam. Cukup untuk 60-70 orang makan di kalangan ahli keluarga kedua-dua mempelai itu, termasuklah Tok Imam dan Bilal masjid.

3) Financial Freedom (bebas kewangan). Misi dan visi untuk mengelak kadar belanja seharian melebihi pendapatan bulan suami isteri. Kena bijak mengatur kredit dan debit. Dahulukan yang utama daripada pertama seperti sewa rumah, bil elektrik, makan minum, lampin dan susu anak, dan sebagainya.

4) Jangan boros. Amalkan pelaburan jangka panjang kepada anak-anak. Menabung sekadar RM20-30 perbulan daripada gaji diperolehi, plus gaji pasangan RM40-60. Aset kepada anak-anak untuk masuk universiti. Contoh: RM60 (1 bulan) X 12 bulan = RM720 X 18 tahun (usia anak masuk universiti) = RM12960. Belum masuk bonus dan sebagainya.

Paling penting setiap pasangan yang ingin berkahwin, jangan takut untuk meyakinkan keluarga masing-masing terutama si lelaki. Jejaka macho hendaklah berani bertemu keluarga pasangan. Jelaskan kepada mereka tentang keupayaan kalian untuk mengambil alih tugas menjaga anak perempuan mereka. Percayalah kepada kuasa komunikasi. Kemudian rancanglah pengurusan kewangan yang mantap.

Mulai saat itu, tiada lagi istilah rehat dalam kamus hidup anda.

Apa salahnya sesekali kita menyantuni dan bertadabbur dengan ayat Allah yang satu ini. Allah Taala berfirman, bermaksud;

".... Allah mengkehendaki kamu berada di dalam kemudahan, dan Allah Taala tidak sesekali mengkehendaki kamu berada di dalam kesusahan..." Al-Baqarah (2:185)

Baiknya TUHAN kita. Dia tidak membebani para hamba-Nya dengan sesuatu yang tidak terpikul olehnya. Allah Taala itu Maha Penyayang. Sepatutnya, kita sebagai hamba hendaklah lebih-lebih lagi bersifat dengan sifat Allah Taala ar-Rahman itu. Memudahkan urusan saudara seislam lain untuk mendirikan masjid. Kita pasti akan dimuliakan-Nya.


http://panduanislam.com/blog

Sent by Maxis from my BlackBerry® smartphone


RK berkata : 

"Kalau kail panjang sejengkal,lautan dalam jangan diduga,kalau bakal mentua meminta berbagai-bagai,lupakan saja tinggalkan dia."

Apabila terlalu ramai sangat yang menonton Nona,begitulah impian mereka bagi sebuah perkahwinan,adat menjadi ibadat.

Saya belum berkahwin dan Insyaallah akan laksanakan secara sederhana nanti.Kalau bakal mak mentua minta bagai,saya pasti bawak lari anaknya ke Thailand..kikikiki

Teruskan Pembacaan...