Wednesday, January 26, 2011















 

BERANI beristeri ramai? Pasti ramai, khususnya lelaki yang termenung seketika dan tidak kurang juga yang memberi senyuman sinis saat diajukan persoalan itu. Ini disebabkan, poligami bukan sekadar perkataan tetapi turut terselit madu serta racunnya. Ia juga satu tabu yang boleh mengundang kerlingan tajam wanita kerana amalannya.

Jika Islam sudah menekankan konsep keadilan apabila lelaki berhasrat berkahwin empat sekali gus serta syarat-syarat asas mewajarkannya, bagi kaum dan negara lain pula, beristeri ramai itu sudah menjadi tradisi atau pesta tahunan.

Di Swaziland misalnya, sebuah negara di benua Afrika yang mana pemerintahnya, Raja Mswati III sememangnya layak dinobatkan Raja Poligami kerana memiliki 14 isteri sekali gus setakat ini!Lebih menarik, semuanya dipilih menerusi adat unik yang mana mereka adalah kalangan anak dara Swaziland - negara di selatan Afrika itu yang datang menyerah diri sebagai bakal isteri.

Bukan sekali, malah setiap tahun dengan yang terbaru, November lalu, si dara Swaziland ini berarak separuh bogel di depan pemerintah berusia 43 tahun itu.
Mereka diarak dengan penuh tradisi dengan harapan dapat terpilih sebagai isteri baru dan berpeluang mengecap sedikit nikmat kekayaan biarpun terpaksa berkongsi dengan berbelas wanita lain.

Acara dua hari itu bermula dengan makan tengah hari di Istana Ludzidzini dan pesta itu berlarutan ke luar apabila ratusan wanita dengan pakaian skirt Swazi dan hanya rantai manik menutupi dada, menari sambil menghunus pisau dan perisai bagi menarik perhatian si Raja.

Pada hari kedua pula, gadis pilihan atau Permaisuri baru itu menghadiahkan pelbagai hantaran termasuk tikar rumput, peralatan memasak, selimut, perabot serta cenderahati lain.
Kehebatan Raja Mswati III itu bagaimanapun, belum dapat menandingi bapanya, Raja Sobhuza II yang sewaktu kematiannya pada 1986, mempunyai 70 isteri dan 1,000 cucu! Malang sungguh apabila negara itu yang sepatutnya menumpukan soal pembangunan, sebaliknya sarat dengan masalah ramai rakyatnya menderita HIV dan kemiskinan. Tumpuan utama Raja Mswati ini sebaliknya, selain menambah isteri adalah boros berbelanja dengan memiliki deretan kereta mewah.

Seorang lagi Raja Poligami adalah Ancentus Akuku yang berasal dari Kenya, juga di Afrika. Sama seperti Raja Mswati III, hobi Akuku adalah mengumpul isteri.
Bak pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, kematian Akuku akhir tahun lalu pada usia 92 tahun, menyaksikannya mencatat nama sebagai poligamis terkenal dalam sejarah negara itu dengan meninggalkan 100 balu biarpun sudah berkahwin lebih 130 kali. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan turut melakar sejarah benua Afrika.

Dia turut dikenali jolokan nama 'Bahaya' kerana ramai wanita mendapati dirinya sukar ditolak. Akuku memiliki lima isteri ketika berusia 22 tahun. Dalam tempoh beberapa dekad antara 1939 dan 1992, Akuku yang berkahwin lebih 130 kali memiliki lebih 200 anak dan menceraikan lebih 80 wanita.
"Saya digelar 'Bahaya' kerana dapat menonjolkan diri ini di kalangan wanita. Saya kacak, bijak memilih pakaian dan tahu memikat hati wanita dengan kata-kata manis. Tiada wanita dapat menolak godaan saya," katanya kepada media, suatu ketika dulu.

Rahsia pemakanannya adalah menolak menu makanan berlemak dan garam yang membantunya mengelak penyakit kronik. Dia juga menghafal dan kenal semua anak-anaknya selain membuat jadual rumah mana yang perlu dikunjunginya mengikuti giliran.

Akuku, bagaimanapun bukan sekadar bijak menghasilkan anak tetapi pandai menguruskan keluarga serta amat mementingkan pendidikan dan ada anak-anaknya menjadi doktor, guru dan jurutera. Dalam tradisi Afrika, anak masih menjadi simbol kemakmuran. Jika kekayaan seseorang lelaki diukur melalui bilangan anak yang dimiliki, Akuku jelas berada dalam kelasnya tersendiri.

Di benua Arab juga tidak kalah dengan Raja Poligami dan Salem Juma'a, 75, yang juga warga Emiriah Arab Bersatu (UAE), layak diberi gelaran itu apabila mengahwini berbelas wanita yang kini cuma tinggal tiga. Dia yang mempunyai 52 anak, 10 daripadanya sudah meninggal dunia.

Salem juga pernah kahwin cerai dengan 12 wanita pelbagai negara - tiga dari Mesir, enam dari India dan tiga wanita tempatan.
"Ini pemberian Allah SWT.

Malah saya sudah ditakdirkan untuk beristeri ramai...rezeki tidak harus ditolak," katanya kepada media tempatan, baru-baru ini, merujuk kemampuannya beristeri ramai.

Namun, kehebatannya tidak setara Daad Abdulrahman, 64, juga warga UAE. Dia bukan sembarangan lelaki dan biarpun hanya berkaki satu, pesara tentera ini tetap ligat untuk meneruskan misi menghasilkan anak mencecah 100 orang menjelang 2015.

Ketika ini, dia mempunyai seramai 88 orang anak, termasuk 50 lelaki. Anak-anaknya paling sulung berusia 39 tahun dengan yang terbaru beberapa bulan. Malah, ada beberapa jandanya masih tinggal bersamanya.

Setakat ini, proses kahwin cerai yang dihadapinya menyaksikan Daad memiliki 16 isteri, namun hanya tiga kekal. Isteri paling muda, Majida, berusia 19 tahun yang dikahwini empat tahun lalu di Pakistan manakala dua lagi, Maryam, 45 tahun manakala Anifa, 22 tahun.

Dia menceraikan tujuh isteri, tiga lagi meninggal manakala tiga yang lain 'melarikan diri' dan tidak pernah kembali lagi.

Hebat atau tidak, rumahnya ibarat liga antarabangsa apabila dia mengahwini wanita Oman, India, Bangladesh, Maghribi dan rakyat tempatan.

Kini, dia memasang impian mahu mengahwini isteri keempat dari Sudan yang 40 tahun lebih muda daripadanya dan berharap memperoleh anak empat orang setahun sehingga matlamatnya tercapai.

Dia menyara keluarganya hasil pencen tentera selain sumbangan dermawan UAE yang sanggup membantunya merealisasikan impian memiliki 100 anak.

Ditanya apa rahsia kehebatannya, Daad berkata: "Saya mementingkan pengambilan makanan berkhasiat. Saya ada 40 biri-biri dan kambing.

Setiap minggu saya sembelih seekor dan menikmatinya bersama-sama isteri dan anak-anak. Mungkin inilah rahsia saya..."

sumber : http://www.bharian.com.my

0 comments:

Related Posts with Thumbnails