Monday, September 12, 2011

LARANGAN BERDUA-DUAAN (KHALWAT) ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN YANG BUKAN MUHRAM (HALAL DINIKAHI)

Rasulullah s.a.w. telah melarang lelaki dan wanita yang bukan muhram (dihalalkan nikah antara keduanya) daripada berkhalwat (berdua-duaan di tempat yang boleh dikategorikan sebagai terhindar daripada halangan untuk melakukan maksiat yang berlaku antara lelaki dan wanita). Larangan yang dikemukakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya ini yang menggunakan lafaz nahi (tegahan) membawa maksud pengharaman perbuatan berdua-duaan yang dimaksudkan tersebut. Berikut merupakan hadith-hadith yang menggambarkan pengharaman tersebut:

1.Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bermaksud: ýBarangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat makan janganlah berkhalwat dengan wanita yang tidak ditemani oleh muhramnya (lelaki yang haram dinikahinya).ý
2.Sabda Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari: ýJanganlah sesiapa dikalangan kamu (lelaki) berkhalwat dengan wanita yang bukan muhram antara keduanya melainkan sekiranya wanita tersebut ditemani oleh mahramnya.ý

Arahan untuk tidak membenarkan lelaki dan wanita daripada berdua-duaan dalam ertikata khalwat di atas bukanlah kerana buruk sangka terhadap kedua-dua mereka tetapi ia bertujuan untuk memelihara mereka daripada terjebak kepada perkara-perkara yang termasuk dalam larangan-larangan Allah yang lebih berat seperti bercumbu-cumbuan, berpeluk-pelukan malahan sehingga ke peringkat zina. Ini adalah disebabkan ketika mereka berdua-duaan, syaitan akan menjadi orang tengah yang bertanggungjawab untuk membisikkan tindakan-tindakan maksiat seterusnya yang perlu dilakukan oleh mereka berdua sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadithnya yang bermaksud:

ýJauhilah kamu daripada berkhalwat dengan wanita (yang bukan muhram kamu). Demi Allah yang jiwaku berada dalam genggamanNya, tidaklah seseorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita melainkan syaitan akan mendatangi mereka berdua.ý

Kesimpulannya, marilah kita sama-sama menjaga diri agar tidak terjebak kepada tipu daya syaitan yang sentiasa membisikkan kepada diri manusia dengan pelbagai keseronokan dan tindakan yang mengundang kemurkaan Allah s.w.t. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w.yang bermaksud:

ýJalan menuju syurga Allah dihampari dengan perkara-perkara yang tidak disukai oleh hati manakala jalan menuju neraka Allah dihampari dengan perkara-perkara yang disukai oleh nafsu syahwatý.



RUJUKAN:
al Bakhi al Khauli. Al Islam wa al marýah al Muýathirah. Dar al Qalam. Kuwait
Muhammad al Ghazali. Khuluq al Muslim. Dar al Kutub al Islamiyah. T. tp.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails