Tuesday, February 22, 2011

 Tadi masa aku on da way nk ke ofis,tune radio kpd hot fm,slot pagi ni berkenaan dengan tribute kepada Allahyarham Sudirman Hj Arshad,selama 3 jam semua lagu-lagu Allahyarham akan diputarkan.Dan sebab adalah merupakan ulangtahun pemergian beliau ke rahmatullah,maka aku pun google cari profil beliau dan akhirnya aku jumpa dan cedok masuk dalam blog nih.

Sikit pon aku x edit,terima kasih kepada sumber : http://sudir-ricky.blogspot.com

Sambil2 kita baca profil beliau,sedekahkan lah Al-fatihah sama.Semoga rohnya dicucuri rahmat.Amin.

 

 

Profil

NAMA: Sudirman Haji Arshad
TARIKH LAHIR: 25 Mei 1954
ASAL: Temerloh, Pahang
KARIER: Penyanyi, pelakon, penulis dan peguam
KELUARGA: Anak bongsu daripada enam beradik
PENDIDIKAN: Ijazah Undang-Undang Universiti Malaya
BAPA: Arshad Hassan
IBU: Ramlah Dahlan
MENINGGAL DUNIA: 22 Februari 1992

PENCAPAIAN: Antaranya, Penghibur TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa, RTM 1978, Persembahan Terbaik Anugerah Juara Lagu TV3 1987, Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian 1989 dan Penghibur Nombor Satu Asia 1989

ANUGERAH: Ahli Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1988, Ahli Mahkota Pahang daripada Sultan Pahang 1990, Johan Mangku Negara daripada Yang di-Pertuan Agong 1992 dan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang daripada Sultan Pahang (2009)

 Siapa Sudirman Hj. Arshad?

Petikan drp booklet Memori Hit Sudirman 1954-1992)

Sudirman dalam Kenangan

Sudirman masih segar dalam ingatan walaupun telah 14 tahun meninggalkan kita. Penghibur ini berbakat besar, muzik dan pencapaiannya masih dikenang sehingga ke hari ini.

Beliau yang merupakan penghibur serba boleh telah membuat kejutan dari Sekolah Pay Fong, Melaka (1976) sehingga ke ruang berprestij di Royal Albert Hall London (1989).

Belum pernah sejak Allahyarham Tan Sri P. Ramlee meninggal dunia, Malaysia mempunyai seorang seniman yang luar biasa hebatnya, apatah lagi seorang seniman yang dapat merentasi sempadan bangsa. Sudirman Haji Arshad merupakan satu-satunya seniman yang boleh menyanyi dengan fasih pelbagai bahasa serta mengubah lagu sehingga berjaya mencuri hati setiap golongan masyarakat.

Wajarlah beliau sering dikatakan sebagai “Penghibur Milik Masyarakat”, “Penghibur Rakyat”, “A Genius With Microphone” dan pelbagai lagi..

Beliau merupakan segala-galanya bagi kita kerana dialah penyanyi, penghibur, penggubah, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan, dan pelakon.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang muzik, beliau telah menghasilkan 20 buah album dalam bahasa Melayu, termasuk dua buah dalam bahasa Inggeris – “Twinkle-Twinkle Little Star” dan “Images”.

Siapa dapat melupakan konsert mega percumanya di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada 15 April 1986? Beliau telah berjaya memikat dan memukau hampir 100,000 penonton dengan kehebatannya.

Sudirman juga muncul dalam acara penutup Sukan SEA 1989 yang dianjurkan oleh Kuala Lumpur dengan penampilannya yang berbeza, mengenakan baju bendera (Jalur Gemilang) sambil mengibarkan Jalur Gemilang (ketika itu Bendera Malaysia) yang besar.

Persembahan beliau dengan lagu One Thousand Million Smiles yang begitu mempersonakan dalam Salem Music Awards di Royal Albert Hall pada tahun 1989 sehingga berjaya dinobatkan sebagai Penghibur No. 1 Asia yang sesungguhnya amat membanggakan Malaysia.

Memang benar, ingatan terhadap Sudirman masih segar bersama kita walaupun selepas 14 tahun pemergian beliau – perjuangannya masih belum selesai.

Lagu-lagu dendangan Sudirman berjaya menggambarkan kehidupan seharian rakyat serta memahami budaya dan cara hidup orang Malaysia.

Temanya berkisar dari alam semulajadi – Penyu Menangis, kepada perlaksanaan sistem “Punch Card” ke sub budaya Chow Kit Road, rentak keliru Penganggur, lagu patriotik Tanggal 31 dan kedinginan Salam Terakhir.

Lagu Balik Kampung merupakan suatu kemestian bagi perantau-perantau yang berpusu-pusu meninggalkan kota pada setiap menjelangnya hari raya, namun ia bukanlah pencetus keceriaan tetapi lebih kepada sentuhan rohani.

Bakat anak kepada ahli politik Temerloh yang dilahirkan 25 Mei 1954 ini telah diketengahkan apabila memenangi pertandingan Bintang RTM pada 11 Ogos 1976 dengan mendendangkan lagu Seruling Bambu dan Big Spender.

Setelah bergelar penyanyi, beliau telah merangkul satu lagi anugerah utama iaitu Penghibur Terbaik di Juara Lagu 1987 dan dengan bakat yang dimiliki, beliau dilantik sebagai “Malaysia’s Singing Ambassador” oleh Kementerian Pelancongan dan Kesenian Malaysia pada 1985.

Di sebalik kepadatan jadual dalam bidang seni, beliau masih dapat membahagi masanya dengan baik di antara menyanyi dan kelas tutorial di Universiti Malaya di mana pada tahun 1980 beliau telah lulus peperiksaan undang-undang dengan mendapat Kepujian Kelas Ketiga. Beliau telah dipanggil untuk menjalani latihan mahkamah empat tahun kemudian.

Hari memperingati kekasih, Februari 1981 merupakan detik-detik manis beliau apabila menamatkan zaman bujangnya bersama kekasih pilihan hati yang telah dikenali sejak kecil Kamarian “Kay” Jamaluddin. Walau bagaimanapun, jodoh mereka hanya bertahan selama tiga tahun sahaja.

Berbekalkan bakat lakonan yang ada dalam dirinya, beliau telah memegang watak utama sebagai Tookoo dalam filem “Kami” dengan Zul Zamrin Huri yang diarahkan oleh Patrick Yeoh pada 1982. Filem ini telah memenangi Anugerah Festival Filem Malaysia ke-3.

Jasa yang dicurahkan beliau terbalas apabila dianugerahkan pingat Ahli Mangku Negara pada tahun 1988 dan menerima dua anugerah selepas kematiannya pada tahun 1992 iaitu Johan Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong dan Ahli Mahkota Pahang oleh Sultan Pahang.

Kejayaannya dalam memasarkan minuman baru Sudi Cola telah mengangkat beliau sebagai pemenang Anugerah Pengusaha Muda dan atas inisiatifnya juga, beliau telah membuka Sudi Shoppe di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur dengan menjual beraneka barangan yang berkaitan dengan penampilan bintang popular.
 
Namun zaman kegemilangan beliau hanyalah sementara apabila pada 22 Februari 1992, ketika berusia 37 tahun beliau telah pergi meninggalkan kita untuk selama-lamanya. Jenazah beliau telah disemadikan di Kampung Cengal, Temerloh.

Selepas pemergiannya, beliau telah menerima beberapa lagi anugerah iaitu Penghibur No. 1 Malaysia yang diberikan oleh New Strait Times pada tahun 1993, Anugerah Khas dalam Anugerah Industri Muzik tahun 1993, dan Hadiah Pertama dalam Mobil-Mabopa (Malaysia Book Publishers Association) anugerah bagi novel sastera kanak-kanaknya iaitu Taming Si Budak Pintar pada tahun 1995.

Sudirman penghibur berbakat besar. Begitulah tanggapan yang masih melekat di minda yang bernasib baik dapat menyaksikan sendiri Sudirman secara peribadi atau melalui televisyan. Gelaran peledak Cili Padi ini hanya mempunyai ketinggian 1.47 meter dan bersaiz kasut 7, mengenakan pakaian biasa, solekan dan sekali sekala mengenakan chaplinesque yang bersahaja.

Demikianlah. Sudirman, lagunya untuk anda dan saya. Al-Fatihah untuk beliau.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails